Isa Samad sah calon BN di Bagan Pinang
PORT DICKSON 29 Sept. – Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad hari ini diumumkan secara rasmi sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 11 Oktober ini. Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Pengerusi BN dalam majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri BN peringkat negeri di Batu 6, Jalan Pantai dekat sini petang ini. Mohd. Isa, 60, merupakan Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 23 tahun.
Hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 3 Oktober ini. Terdapat 13,664 pengundi berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang dengan 9,060 merupakan pengundi biasa manakala 4,604 pengundi pos. DUN Bagan Pinang mempunyai 62.7 peratus pengundi Melayu, 20.7 peratus India, 10.9 peratus Cina dan 5.5 peratus kaum lain. Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Azman Mohd Nor pada 4 September lalu. Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Allahyarham Azman memenangi kerusi DUN itu selepas mendapat 6,430 undi mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi. - Utusan
Utusan Malaysia:29/09/09
Sumber: Utusan Malaysia 29/09/09
Pesalah Rasuah Calon UMNO Di Negara Halam Hub
Dunia politik sekular mendedahkan pekungnya lagi apabila pengamal rasuah masih diletakkan kepercayaan untuk menjadi calon mewakili UMNO dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 11 Oktober ini. Apakah UMNO sudah ketandusan calon yang beribawa untuk ditonjolkan sebagai calon mereka buat kali ini. Nampaknya nasihat dan pandangan yang diberikan oleh Mahathir sebelum dari ini supaya UMNO tidak mencalonkan Isa Samad tidak dipedulikan. Inilah percaturan politik Kapitalisme. Matlamat menghalalkan cara. Bagi para politikus Kapitalisme persoalan syakhsiah ataupun peribadi calon bukanlah perkara penting. Begitu juga dengan persoalan sistem. Sistem apa yang akan diterapkan bukanlah perkara penting buat mereka. Yang penting kekuasaan berada di tangan mereka.
Sedangkan bagi Islam, keperibadian seseorang yang ingin menjadi pemimpin dan sistem yang akan diterapkan adalah dua indikator yang perlu memenuhi hukum syara’. Pemimpin dan sistem yang baik akan menghasilkan natijah yang baik kepada individu, masyarakat dan negara. Yang pastinya saat ini negara dipimpin oleh pemimpin yang menerapkan sistem kufur demokrasi ciptaan Barat yang sudah pasti akan menimbulkan 1001 macam masalah dalam kehidupan masyarakat dan negara. Di saat negara jiran kita, Thailand telah berjaya menjadi "Hailam Hub" di Asia, Malaysia pula terhegeh-hegeh berusaha menjadi "HALAM HUB" di dunia dengan mencampur-adukkan di antara yang halal dengan yang haram menurut ajaran hadhari yang dianuti oleh para pemimpin sekular negara ini sepertimana yang diilhamkan oleh PakLah Hadhari.
Wahai umat Islam kamu wajib mengubah keadaan ini. Kamu wajib berusaha menegakkan kembali sistem pemerintahan Islam, sistem Khilafah. Ketahuliah bahawa sistem Khilafah ini adalah sistem pemerintahan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW, diteruskan oleh para sahabat sehinggalah akhirnya dihancurkan oleh Mustafa Kamal Attartuk pada 3 Mac 1924 di Turki. Kini umat Islam tertipu dengan sistem pemerintahan demokrasi ciptaan Barat. Sampai bilakah umat Islam akan kembali sedar dari penipuan kuffar Barat ini?
No comments:
Post a Comment