Tuesday, October 20, 2009

AIR TERCEMAR DI NEGERI "DARUL PUNNAH"

LAPORAN : berita hairan 20 10 2009

Kandungan bahan asing dalam air terawat di Perlis, Kelantan tinggi

KUALA LUMPUR: Kandungan bahan asing seperti klorin, bakteria e.coli, aluminium dan ferum (besi) didapati tinggi dalam air terawat di Kelantan dan Perlis.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2008, ujian makmal yang dijalankan di Loji Rawatan Air (LRA) Pintu Geng, Kota Bharu mendapati kandungan ferum dalam air terawat di loji itu adalah sangat ketara iaitu melebihi 0.3 miligram per liter.

Sebagai contoh, pada bulan Februari 2009, sebanyak 20 kali sehari ujian yang dilakukan mendapati kandungan ferum dalam air dirawat ialah antara 1.5 hingga 1.8 miligram per liter setiap hari.

Ujian yang dijalankan Kementerian Kesihatan terhadap kualiti air minum di Perlis pula menunjukkan terdapat 7.1 peratus klorin, 6.8 peratus e.coli dan 4.1 peratus aluminium di dalam air itu.

"Kekerapan ujian di loji yang dijalankan hanyalah antara lima dan enam kali sehari tidak memadai bagi memastikan tahap kualiti air yang dibekalkan pada pengguna adalah selamat," kata laporan itu.

Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis tidak membuat ujian di stesen pensampelan yang menyebabkan keputusan pensampelan hanya bergantung kepada ujian yang dijalankan Jabatan Kesihatan.

Menurut laporan itu, bagi meningkatkan kualiti air minum yang dibekalkan, pihak terbabit disyor supaya menyegerakan perwartaan kawasan tadahan, muka sauk, medan telaga dan LRA sebagai kawasan larangan, selain menaiktaraf LRA.

Tindakan penambahbaikan dari segi kekerapan ujian dan membaiki stesen pensampelan yang rosak dengan segera, turut menjamin tahap kualiti air yang dibekalkan. – Bernama

ANALISIS :

Isu masalah air bukanlah isu baru, malah ia adalah rentetan daripada isu-isu yang lalu yang semakin merumitkan lagi. Sebagai contoh, pada 25hb Februari yang lalu, seluruh Malaysia heboh akan berita bekalan air berbau yang melanda penduduk di sekitar Lembah Kelang. Mungkin ramai yang sudah mula melupakan kes tersebut; namun jika kita imbas kembali, laporan khas demi laporan khas telah memenuhi dada akhbar dan media elektronik tempatan dalam usaha untuk membongkar dalang durjana yang menyebabkan air paip yang selama ini menjadi sumber utama untuk keperluan harian tiba-tiba berubah sifat, berbau seperti najis. Upacara tuduh-menuduh berlarutan, mengikuti dendangan lagu ‘Bangau oh Bangau’; masing-masing cuba melepaskan diri dari dipertanggungjawabkan.

Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) adalah antara entiti awal yang masuk ke kandang tertuduh kerana dikatakan telah melepaskan tanggungjawabnya dalam merawat air yang dibekalkan kepada pengguna. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid telah menyelar tindakan Syabas yang mengatakan bahawa bekalan air di kawasan yang terjejas itu bukannya terletak di bawah tanggungjawab mereka [UTUSAN 04/03/06].

Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail pula berkata, dakwaan tersebut tidak tepat kerana Syabas dan syarikat pembekal air Selangor yang lain telah mengikut peraturan dan tata cara perjanjian konsesi yang telah dipersetujui oleh kesemua pemegang konsesi dan kerajaan negeri. Akhir-akhir ini, hasil siasatan terkini Jabatan Alam Sekitar mendapati, punca kejadian adalah daripada limpahan air kotor yang terjadi akibat masalah teknikal dari sebuah takungan pusat pelupusan sampah di Bukit Tagar, Selangor yang dibina dan dioperasikan oleh KUB-Berjaya Enviro, sebuah syarikat usaha sama antara Kumpulan Berjaya dan KUB Malaysia Bhd [UTUSAN 07/03/06].

Masalah berkaitan bekalan air seperti yang berlaku bukanlah satu isu yang baru di Malaysia. Sebelum inipun, saban waktu kita dihidangkan dengan pelbagai laporan yang bersangkutan dengannya; masalah tiada bekalan, masalah kecurian air, masalah air berkarat dan sebagainya. Apa yang jelas, sejak industri ini diswastakan oleh kerajaan, isu-isu yang selama ini dipandang biasa mula menjadi isu-isu hangat dan menjadi hujah penting bagi pihak yang menentang penswastaan air untuk menunjukkan kepincangan penswastaan pengurusan sumber air negara dan kegagalannya dalam memastikan hak pengguna terjamin. Isu air busuk yang berlaku ini adalah salah satu daripada insiden-insiden yang menyemarakkan lagi perdebatan berkenaan kebaikan atau keburukan penswastaan sumber air negara.


Pada 15hb Disember 2005 yang lalu, pihak kerajaan yang diwakili oleh Unit Perancang Ekonomi, ajensi-ajensi pelaksana, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dan Kerajaan Negeri Selangor telah menandatangani satu perjanjian konsesi yang melibatkan pengambilalihan PUAS oleh Syabas dalam bidang kuasa pengagihan dan pembekalan air terawat kepada semua pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Perjanjian yang tidak mendapat liputan meluas itu telah menyebabkan Malaysian Trade Union Congress (MTUC) dan Coalition Against Water Privatisation (CAWP) menghantar memorandum kepada Perdana Menteri pada 24hb Januari 2006 antara lainnya memohon siasatan dibuat terhadap beberapa kesalahan yang dikatakan telah dilakukan oleh Syabas.

Air – Keperluan Asas dan Minyak kurun ke 21

Air adalah satu kepentingan manusia yang paling asas dan tidak patut dipandang remeh. Air bukan setakat diperlukan dalam urusan makan minum dan mencuci pakaian semata-mata, malah ada ketikanya fungsi air menjadi sesuatu yang melibatkan hukum syara’ dimana tanpanya sesuatu yang lain tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Sebagai contoh, dalam hal bersuci, air adalah elemen penting bagi manusia untuk bersuci untuk membolehkan ibadah-ibadah khusus seperti solat dan haji dapat disempurnakan. Kebersihan air dalam konteks ini menjadi sesuatu yang premium dan perlu disediakan tanpa sebarang kecacatan. Dalam hal ini, kegagalan pihak yang bertanggungjawab memastikan bekalan air yang suci lagi menyucikan tidak boleh diterima.

Air adalah salah satu daripada sumber asli di dunia ini yang amat diperlukan sebagai salah satu keperluan asas manusia. Biarpun bumi pada dasarnya diliputi oleh 70% air, namun, 97.5% daripada air yang terdapat di dunia ini adalah air laut, 1.9% adalah dalam bentuk ais batu polar dan hanya 0.6% selebihnya sahaja yang boleh dimanfaatkan untuk keperluan harian. Oleh kerana itu, ada pihak yang berpendapat bahawa air boleh dikatakan sebagai minyak kurun ke 21 kerana kepentingannya dan potensinya dalam meraih keuntungan yang besar di masa akan datang. Ini adalah kerana air merupakan keperluan asas manusia yang tidak boleh diganti oleh bahan yang lain. Maka tidak hairanlah sekiranya proses penswastaan sumber air sentiasa dicanang kesana-kemari oleh ejen-ejen sistem kapitalis seperti Bank Dunia dan Koperasi Kewangan Antarabangsa (International Finance Corporation).

Namun secara praktiknya, apa yang telah berlaku adalah, projek-projek penswastaan yang dijalankan rata-rata menemui kegagalan dalam mencapai objektif perlaksanaannya. Rakyat semakin menderita dengan kenaikan tarif air yang membebankan pengguna berpendapatan rendah seperti kenaikan sehingga 4 kali ganda yang berlaku di Filipina. Kecekapan pengurusan yang masih di takuk lama dan berbagai masalah lain juga dipertikaikan. Jika kita bandingkan, kesan ke atas mereka yang terlebih dahulu mengikuti jalan-jalan penswastaan sumber air di negara mereka, didapati ianya saling tak tumpah dengan permasalahan yang menimpa negara kita. Kes air busuk juga pernah melanda bandar Adelaide, Australia selama tiga bulan pada tahun 1997 hasil penswastaan sistem air kepada konsortium Thames Water dan Vivendi. Apa yang pasti, gagal atau berjaya, syarikat-syarikat gergasi multi-nasional terus-menerus mendapat keuntungan besar dari projek-projek penswastaan tersebut; sebagai contoh syarikat Suez Lyonnaise Des Eaux dari Perancis, Biwater dari Britain, Bechtel, Bougues, United Utilities, Thames Water, Vivendi Universal dan sebagainya.

Dengan kata lain, apabila suatu sumber keperluan rakyat, seperti air, diswastakan dengan harapan agar ia dapat meningkatkan mutu perkhidmatan dan mutu bekalan yang diterima, kita sebenarnya meletakkan harapan kepada sesuatu yang belum pasti akan berjaya. Hakikatnya, realiti menunjukkan (berdasarkan contoh-contoh yang telah berlaku di seluruh dunia) kejayaannya jarang-jarang, keberkesanannya kadang-kadang, tetapi bebanannya terhadap rakyat memang banyak berlaku.

Hakikatnya, air dikategorikan sebagai harta kepemilikan umum untuk seluruh umat/rakyat. Tiada seseorang individupun yang berhak secara penuh terhadap sumber air melainkan beberapa pengecualian yang telah ditetapkan oleh syara’. Imam Ahmad bin Hambal meriwayatkan dari salah seorang Muhajirin yang mengatakan: Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Manusia sama-sama memerlukan dalam tiga perkara: air, padang gembalaan dan api.”

Dalam konteks ini, syara’ menegaskan bahawa Daulah (Negara) perlu memikul tanggungjawab menguruskan harta-harta kepemilikan umum ini dalam kapasitinya sebagai wakil umat. Dalam memenuhi tanggungjawab ini, syara’ tetap melarang Daulah memberikan atau menukar harta kepemilikan umum kepada mana-mana individu atau entiti (sebagai contoh memberikan hak ke atas sumber air milik umum dengan balasan royalti atau pembayaran tertentu kepada Daulah). Selain dari bentuk-bentuk yang diharamkan ini, Daulah berhak untuk menguruskan sumber-sumber air sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan rakyat selagi tidak bercanggah dengan hukum-hukum Islam yang lain.

  • Di Perlis, selain daripada kandungan batu kapur yang tinggi, ia diburukkan pula oleh kehadiran klorin, e-coli dan aluminium yang tinggi yang heboh diperkatakan dalam media perdana baru-baru ini.

  • Klorin tinggi dalam air adalah disebabkan kadar pencemaran tinggi…maka ia digunakan dalam LRA.

  • Pencemaran e-coli, klorin dan aluminium saling berkait atau bersilang dalam meningkatkan pencemaran air.

Sebab/Punca :

  • Pencemaran industri
  • Bahan buangan isi rumah
  • Gerai2/pengusaha makanan
  • Buangan organic dan sisa makanan serta najis : tingkatkan e-coli
  • Kurang kesedaran/pendidikan
  • sikap pengguna
  • Rasuah
  • Penguatkuasaan/pemantauan lemah

Cara atasi :

Ø Di manakan peranan Jabatan Alam Sekitar (Jas), Jps dan Jba?

Ø Penggunan water filter dan penapis klorin sebagai short-term solution oleh pengguna.

Ø Adakah peruntukan RM300 juta setahun digunakan sebaiknya oleh Jps bagi membersih sungai2 seluruh Malaysia?

Ø Ceramah agama/khutbah yang relevan – mengaitkan hukum fiqah berkaitan air dengan isu semasa.

Ø Kawalan industri logam berat spt saduran timah yg melepaskan sisa logam ke sumber air.

Ø Wartakan kawasan sumber air mentah agar tiada pencerobohan berlaku.

Ø Cuci kolam / LRA secara berkala.

Ø Koordinasi n komunikasi tingkatkan antara agensi terlibat.

Ø Kesedaran ahli politik/pemimpin Negara.

Ø Peranan Jabatan Hutan sama2 menjaga kawasan diwartakan.

Ø Peranan bersama persatuan dan NGO pengguna mendesak reformasi system bakalan air nasional negara selain kesedaran di tahap individu.

Ø Pemantauan serta persampelan ditingkatkan, secara berkala..menggunakan kit ujian terbaru (dapat ketahui keputusan segera / on-site..tanpa perlu bawa balik sample ke makmal).

Ø Pendidikan/kesedaran oleh institusi pengguna, kemasyarakatan dan pelajaran/sekolah.

Ø Peranan PBT spt MPK dalam pemantauan dan penguatkuasaan, samada kepada pencemar atau industri yang tidak bertanggungjawab dengan denda untuk pemulihan dan sebagainya.

Ø Plan pembangunan haruslah terancang, kolektif dan lestari.

Lain-Lain Saranan

Ø Kerajaan selaku pihak berwajib tidak harus menuding jari dan mengelak daripada bertanggungjawab dalam isu air yang tak kunjung padam kepada pihak swasta ataupun pencemar dan pihak ketiga yang lain.

Ø Awasi dengan pihak peniaga ataupun kapitalis jualan langsung yang cuba mengeksploit isu air tercemar bagi melariskan jualan system penapis air mereka menerusi skim-skim tertentu yang membebankan pengguna dan menipu dalam diam.

Ø Penerapan hukum Islam dalam isu air hendaklah dilaksanakan segera kerana air adalah untuk kegunaan dalam ibadah selain keperluan asasi manusia. Di manakah penerapan ajaran Islam dalam hal berkaitan di negeri yang mendakwa sebagai “darus sunnah” ini?

Ø Memanfaatkan penyelidikan oleh IPT tempatan dalam bidang pengurusan bekalan air dan alam sekitar yang mapan, di samping penggunaan teknologi terkini yang berkesan dan kos-efektif seperti EM dan sebagainya dalam perawatan air dan sisa buangan.

Ø Plan pemulihan system bekalan air jangkapanjang haruslah dirangka segera secara kolektif di peringkat nasional agar masalah ini tidak lagi menghantui rakyat mahupun menjejaskan kehidupan penduduk di Negara yang berstatus “hadhari” ini.

No comments:

Post a Comment