Saturday, March 13, 2010

JUTAWAN TARIK DUIT : ANTARA DUA DARJAT

Mokhzani Mahathir, Syed Mokhtar al-Bukhari, Azman Hashim dan Nazir Razak dikatakan antara orang paling kaya di Malaysia masa kini. Harta mereka dihitung bilion. Mereka orang Melayu.

“Wahai orang Melayu semua, adakah kalian tidak rasa bangga? Bangsa kita ada yang kaya. Bukan saja kaya, tapi kaya-raya. Bukan jutawan tetapi bilionwan. Ayuh… mari kita berbangga.”

Pak At Lat Seribu, Din Jejawi Dalam, Kak Piah Batas Keretapi, Som Bawah Bukit tentu boleh berbangga. Ada juga orang Melayu yang kaya-raya. Ingatkan semua orang Melayu sama saja. Merempat, melanuih, makan ikan kering, sayur kangkung dan taugeh lembik.

Rupanya ada juga orang Melayu yang pandu Porsche. Sarapan pagi di KL dan makan tengahari di Manila. Isteri bawa beg tangan kulit buaya ratusan ribu. Anak pakai baju T ribuan ringgit sehelai. Pasu bunga di atas anak tangga ke tingkat empat rumah bernilai ribuan ringgit.

Tak apalah, sekurang-kurannya Pak At, Din, Kak Piah dan Som boleh tumpang bangga. Bukan orang Cina saja yang kaya, orang Melayu pun ada juga.

Orang nak kata apa pun kerana mereka kaya, terpulanglah. Yang penting kaya. Orang nak kata kroni, daddy kasi, atau apa saja katalah. Apa yang penting mereka orang Melayu. Bukan Melayu saja, Melayu kaya.

Bukankah lebih baik kaya daripada miskin? Daripada orang Cina kaya baik orang Melayu kaya. Buat apa dipersoalkan macam mana mereka kaya. Yang penting mereka Melayu kaya-raya. Itu sangat penting. Kesampingkan saja semua yang lain.

Buat apa kita iri hati sesama Melayu. Biarlah mereka kaya macam mana pun. Mereka bangsa kita juga, kulit sawo matang macam kita juga, warga Malaysia juga. Baguslah mereka kaya.

Kita boleh tumpang bangga, tumpang gembira. Bukankan lebih baik mereka kaya daripada orang Cina kaya?

Kalau orang Cina kaya, apa orang Melayu boleh dapat? Jangankan nak dapat apa-apa, nak tumpang bangga pun tidak boleh. Mereka bukan sebangsa dengan kita.

Kalau orang Melayu kaya, sekurang-kurangnya kita boleh tumpang bangga. Ya, bangga.

“Aku bangga sebab bangsa aku ada yang kaya. Bangsa aku bukan lekeh sangat, bukan cabok sangat, bukan bangsat sangat, bukan bodoh sangat, bukan merempat sangat. Buktinya, tengok beberapa kerat bangsaku adalah orang kaya. Bukan kaya tapi kaya-raya. Aku bangga….”

Tiba-tiba Pak At, Din, Kak Piah dan Som teringat nak garu kepala. Nak bangga apa. Mereka kaya pun aku tak dapat apa juga.

Baru Pak At teringat, tayar basikal anaknya yang pecah belum ditukar. Din baru teringat, ubat nyamuk lingkar sudah habis. Kak Piah baru teringat, ikan bilis nak buat nasi lemak untuk diletak di kedai Pak Leh tak beli lagi. Baru Som teringat, baju sekolah anaknya koyak kangkang dan belum dijahit.

No comments:

Post a Comment